Sunday 19 June 2011

:: Bila hati berkata-kata ::

"Cinta bermula dengan senyuman, mekar dengan ciuman dan berakhir dengan tangisan."

Bila kita fikirkan sedalam-dalamnya sebenarnya mungkin Tuhan sengaja mahu kita berjumpa dengan orang yang salah sebelum menemui insan yang betul dan sesuai dengan kita supaya kita akan tahu bagaimana untuk bersyukur dengan nikmat pemberian dan hikmah di sebalik pemberian tersebut.


Ia cuma mengambil masa seminit untuk jatuh hati pada seseorang, satu jam untuk menyukai seseorang, satu hari untuk menyintai seseorang tetapi ia mengambil masa sepanjang hidup untuk melupakan seseorang. Dengan kata lain sebenarnya kita tidak akan dapat melupakan sesiapa sahaja yang pernah berada di dalam hati kita walaupun ia hanya sedetik cuma. Apa yang saya belajar dari hari ke hari apabila kita telah memberi hati dan seluruh cinta kita kepada seseorang, janganlah mengharapkan cinta sebagai balasannya. Ini bukanlah satu kepastian yang setiap hati akan menyintai kita. Mungkin ada hati lain yang kita tidak pernah memberi peluang dan ruang untuk dia bertakhta di hati kita. Jadi seeloknya, pandanglah dengan hati, bukan dengan mata kasar. Mata mungkin boleh terlepas pandang, tapi hati akan sentiasa berkata benar.


Di sini saya ingin berkongsi dengan rakan-rakan hasil daripada pembacaan saya.
Jangan pandang kepada kecantikan kerana boleh jadi ianya palsu. Jangan kejar kemewahan kerana ianya akan susut. Carilah seseorang yang membuatkan anda tersenyum kerana ia cuma memerlukan sekuntum senyuman untuk mencerahkan hari yang suram. Carilah yang membuatkan hati anda tersenyum. Akan tiba satu ketika di dalam kehidupan apabila anda teramatkan rindukan seseorang sehingga anda ingin menggapainya dari mimpi anda dan memeluknya dengan sebenar.Mimpilah apa yang ingin anda mimpikan, pergilah ke mana-mana yang ingin anda tujui dan jadilah apa yang anda inginkan kerana anda hanya memiliki satu kehidupan dan satu peluang untuk melakukan semua perkara yang ingin anda lakukan.”


Semoga saya, dia, kamu, mereka dan kami akan memiliki kebahagiaan yang cukup untuk membuatkan diri kita menarik, percubaan yang cukup untuk membuatkan kita kuat, kesedihan yang cukup untuk memastikan kita adalah seorang insan dan harapan yang tabah untuk membuatkan  hidup kita bahagia.


Bagi diri saya sendiri kebahagiaan itu tidak semestinya memiliki segala yang terbaik dalam hidup. Tetapi  bahagia itu akan dirasai apabila kita lakukan yang terbaik dalam hampir apa sahaja yang datang dalam perjalanan hidup kita. Kebahagiaan terletak kepada mereka yang menangis, mereka yang terluka, mereka yang telah mencari dan mereka yang telah mencuba.


Masa depan yang cerah sentiasa berteraskan kehidupan lalu yang telah dilupakan. Jadi, kita tidak boleh meneruskan kehidupan dengan sempurna sehingga kita melupakan kegagalan dan kekecewaan masa silam yang pernah dilalui.



"Saya akan berjaya dan bahagia"

No comments: